Tuesday, June 5, 2012

7 Prinsip Utama menjalankan Perniagaan

PERTAMA usahawan digalakkan untuk tidak memilih bidang perniagaan tertentu hanya kerana
melihat orang lain berjaya mengusahakannya, tanpa mengetahui selok-belok perniagaan tersebut.
Pemilihan secara membuta tuli amat merbahaya kerana tidak dibuat berasaskan penilaian yang wajar.

KEDUA, usahawan perlu mengelakkan melakukan tindakan mencampur-aduk urusan wang syarikat
dengan urusan wang sendiri. Ramai usahawan gagal mengawal disiplin diri dalam aspek ini,
dimana mereka menggunakan wang perniagaan bagi tujuan sendiri. Ini menyebabkan perniagaan
menghadapi masalah aliran tunai yang seterusnya menyebabkan perniagaan gagal. Usahawan perlu
faham konsep 'entiti berasingan' antara dirinya dengan perniagaannya dan menghormati
perniagaannya sebagai satu entiti lain.

KETIGA ialah jangan mengamalkan penipuan dalam perniagaan. Ini adalah tuntutan bukan sahaja
amalam perniagaan yang baik malahan juga diwajibkan dalam agama dimana peniaga dilarang menipu
dalam timbangan, sukatan dan maklumat mengenai produk. Ada peniaga yang sanggup menipu bukan
sahaja pelanggan, malah juga kerajaan dari segi pembayaran cukai dan sebagainya. Elakkan menipu
dalam semua hal kerana lambat laun akan diketahui orang. Penipuan akan menghilangkan 'barakah'
dalam urusan perniagaan kita.

KEEMPAT, usahawan yang ingin berjaya harus mengelakkan diri daripada bersifat tamak. Ramai usahawan
menjadi tamak dan cuba membuat terlalu banyak perkara dalam masa yang sama. Ini menyebabkan mereka
hilang fokus. Orang tua-tua sudah berpesan, orang tamak selalu rugi. Nanti yang dikejar tak dapat,
yang dikendong berciciran. Ingat juga kata orang putih, "Rome was not built in a day".

KELIMA pula ialah elakkan meminjam wang jika tidak perlu. Apabila usahawan meminjam wang, tujuannya
haruslah untuk membantu menyelesaikan masalah perniagaan, bukannya untuk menjadi masalah kepada dirinya.
Oleh itu pinjam hanya apabila perlu dan yakin ia akan membantu perniagaan dan boleh dibayar balik.
Tujuan pinjaman hendaklah dilaksanakan.

KEENAM ialah jangan mudah percaya kepada semua maklumat yang diterima, lebih-lebih lagi jika sumber
maklumat itu kabur. Dalam perniagaan, maklumat yang betul sangat penting supaya keputusan yang tepat
dapat dibuat. Oleh itu pastikan setiap maklumat disahkan secara teratur. Jika usahawan tidak mengesahkan
maklumat yang diterima, dia terdedah kepada risiko membuat keputusan yang salah.

KETUJUH dan terakhir ialah jangan mempunyai perasaan dengki kepada usahawan lain. Ini satu kelemahan
usahawan yang agak ketara. Sebaiknya, jadikan usahawan yang lebih berjaya sebagai penanda aras dan
cabaran persaingan. Dalam perniagaan, jaringan amat penting untuk berjaya. Oleh itu kita seharusnya
bekerjasama membantu satu sama lain dalam satu jaringan yang melahirkan sinergi, bukan menyimpan rasa
dengki yang berhasrat memusnahkan.

Salam sukses!
Fadzil Amri
fadzil.amri@gmail.com
http://blog.bisnesinternet.ws

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...